recent posts

sELaMaT dAtANg kE wEB BloG ciKgu ZaiLaNi

08 May 2013

GAYA DAN PENDEKATAN PEMBELAJARAN DI KALANGAN PELAJAR

Kita sudah lama mengajar di sekolah dan menempuh pelbagai pengalaman semasa berhadapan dengan pelajar. Mungkin kita mempunyai pengalaman yang tersendiri. Ada sesetengah kita yang merasa apa yang kita ajar disukai oleh pelajar tetapi rupa-rupanya ramai yang tidak menyukai kerana mereka tidak diberi peluang menjalankan aktiviti sendiri. Bayangkanlah di dalam sesebuah kelas, biasanya terdapat lebih kurang tiga puluh hingga empat puluh orang pelajar. Walaupun mereka mempunyai peringkat umur yang hampir sama tetapi kebolehannya adalah berbeza-beza. Gaya pembelajaran juga adalah tidak sama. Oleh itu kita sukar memahami dan mengetahui dengan tepat bagaimana cara pembelajaran seseorang pelajar.

Mengikut ahil-ahli psikologi, setiap pelajar mempunyai kaedah pembelajaran yang tersendiri. Ada yang suka belajar dengan cara membaca serta menghafal bersendirian, belajar apabila disuruh belajar, pembelajaran berdasarkan pengalaman, pembelajaran secara latihan, pembelajaran secara kumpulan, pembelajaran secara mendengar, pembelajaran secara inovatif, pembelajaran secara meniru dan pelbagai lagi gaya yang tersendiri dan unik.Di rumah mungkin kita melihat anak-anak suka membaca buku atau belajar sambil memasang lagu-lagu yang disukai. Kita tidak merasa yakin sama ada apa yang dipelajari boleh diingat ataupun hilang bergitu sahaja. Berikut diterangkan secara ringkas gaya dan pendekatan pembelajaran di kalangan pelajar.

1. Belajar Sendiri dan Membuat Hafalan
Kaedah pembelajaran cara ini kebiasaannya pelajar suka belajar sendiri di asrama atau di rumah berdasarkan nota-nota yang sempat disalin di dalam kelas. Ia bergantung kepada masa-masa yang sesuai terutama waktu malam atau di tempat yang sunyi. Antara yang dilakukan ialah memperkemaskan nota-nota atau membentuk nota yang lebih kecil, membaca semula untuk mengekalkan jangka masa yang panjang dan
membuat ulangkaji yang berterusan. Ia akan bertanya sesuatu sekiranya tidak memahami sesuatu tajuk terhadap rakan-rakan dan juga guru. Pelajar jenis ini kebiasaan mempunyai motivasi dalaman, keyakinan yang tinggi dan mempunyai disiplin yang baik. Ia juga tidak mahu diganggu oleh rakan sebaya kerana berkemungkinan membuang masa. Pembelajaran secara sendiri atau lebih kepada pemusatan pelajar adalah sesuai juga kerana guru tidak payah memberikan arahan yang berterusan.
2. Belajar Apabila Disuruh Belajar
Pernahkah anda berjumpa dengan pelajar yang hanya belajar apabila disuruh belajar? Kalau berjumpa, apakah yang anda telah lakukan? Sebenarnya pelajar yang termasuk dalam kategori ini biasanya mempunyai motivasi yang rendah. Mereka hanya akan belajar sekiranya disuruh oleh kita atau ibu bapa sahaja. Kebiasaannya pelajar jenis ini tidak mempunyai rekod pencapaian akademik yang tinggi. Kurang memberi tumpuan di dalam kelas, tidak suka berusaha untuk mendapatkan nota-nota dan kurang membuat tugasan. Mereka juga tidak ada perancangan yang sistematik dalam sistem pembelajaran seperti kemahiran mengambil nota, menganalisis sesuatu tajuk, kebolehan mengekalkan ingatan dan pengurusan masa. Anda yang menemui pelajar seperti ini, perlulah memberikan bimbingan dan motivasi yang berterusan. Oleh itu galakkan mereka berdamping dengan rakan sebaya yang lebih aktif.

3. Pembelajaran Berdasarkan Pengalaman
Boleh dikatakan ramai pelajar mempelajari sesuatu melalui kaedah pembelajaran cara ini. Pelajar jenis ini boleh dikatakan mempunyai pemikiran yang bersifat teoris. Dunia pendidikan yang semakin maju menyebabkan ramai pelajar yang mempunyai kesedaran dan mereka sentiasa menimba setiap pembelajaran dan pengalaman yang dilalui. Dengan pengalaman yang konkrit, mereka akan membuat pemerhatian, dan seterusnya membuat tindakan atau gerak balas yang betul. Ada juga yang suka berbincang, mengumpul data dan membuat analisis. Dengan kata lain, apa yang dilihat, didengar serta dibaca dalam pelbagai sumber terus dipelajari untuk mendapat kesimpulan yang betul. Jadi pengalaman yang diterima amat penting untuk dihubungkan dengan perkara baru yang akan dipelajari.

4. Pembelajaran Secara Latihan dan Praktikal
Bagi anda yang mengajar subjek Matematik, dan Lukisan Kejuruteraan biasanya memberi banyak latihan dan pratikal kepada pelajar. Itulah cara yang sebaik-baiknya.Pelajar pun suka apabila mereka dapat belajar dengan membuat latihan dan mempunyai kemahiran.

5. Pembelajaran Secara Kumpulan
Kaedah pembelajaran ini biasanya dilakukan oleh pelajar-pelajar yang mempunyai pencapaian sederhana. Kita boleh katakan juga sebagai gaya pembelajaran aktivis. Dengan kata lain, mereka memerlukan pertolongan di antara satu dengan yang lain dan bergerak secara aktif dan agresif untuk membentuk sesuatu kumpulan belajar. Pembentukan kumpulan ini selalu dilakukan dalam subjek Sains, Matematik, semasa kerja-kerja projek untuk latihan amali di bengkel-bengkel dan ketika membuat kajian luaran untuk subjek sejarah. Di dalam sesuatu kerja kumpulan, pelajar akan membentuk seorang ketua untuk melakukan sesuatu yang patut. Ketua akan mengarahkan setiap orang akan membuat tugasan atau soalan-soalan yang disuruh oleh guru. Sekiranya seseorang pelajar tidak mampu untuk melakukan maka ia meminta bantuan dari rakan-rakan yang lain. Pelajar yang berkebolehan dalam sesuatu tajuk, mereka akan menerangkan kepada rakan-rakan yang lemah. Jadi pelajar yang lemah atau tidak mempunyai keyakinan kendiri merasa beruntung kerana dapat membuat latihan dan tugasan dengan jayanya.

6. Pembelajaran Secara Inovatif, Intuitif dan Analisis
Bagi pelajar yang mempunyai pencapaian yang baik dalam subjek Matematik dan juga Sains kebiasaannya mereka tidak mengharapkan sangat kepada nota-nota yang diberikan oleh kita. Sebaliknya mereka merasa berkemampuan dan keyakinan untuk menganalisis sesuatu yang abstrak, tidak malu menyoal perkara atau fakta yang tidak diketahui. Mereka juga suka membuat sendiri atau mengulangkaji, bekerja secara sistematik , berhati-hati, sentiasa ingin tahu dan memproses secara reflektif. Boleh dikatakan pelajar jenis ini iaitu yang bersifat reflektif biasanya tidak banyak membuang masa atau berseronakan dengan rakan-rakan kerana ia menganggap pelajaran adalah lebih penting daripada yang lain. Pernahkah ada menemui pelajar seperti ini?

7. Pembelajaran Secara Meniru
Meniru adalah sesuatu yang digalakkan. Walau bagaimanapun kalau amalan ini berterusan maka ia mengakibatkan seseorang pelajar bersifat pasif dan tidak berapa aktif. Amalan pembelajaran secara meniru
kebanyakan dilakukan oleh oleh pelajar yang lemah. Mereka tidak berani untuk membuat latihan sendiri di dalam kelas, tidak suka menyoal dan tidak mempunyai keyakinan sendiri. Mengambil jalan yang mudah ini
menyebabkan pemikiran mereka tidak aktif dan tidak mampu menjawab soalan-soalan yang berbentuk penyelesaian semasa menduduki peperiksaan. Akibatnya mereka menemui kegagalan kerana tidak berupaya
untuk menyelesaikan sendiri.

Dan banyak lagi cara belajar yang kita boleh fikirkan... Ini sahaja untuk kali ini. Terima kasih

No comments:

...:Koleksi Lagu Pilihan:...