14 Mei 2013

PERSEDIAAN PENGAJARAN PENTING DALAM PENDIDIKAN

Persediaan mengajar ialah satu perancangan harian yang disediakan oleh guru untuk satu waktu pengajaran. Ia mengandungi maklumat tentang pelajar, matlamat yang ingin dicapai, isi kandungan yang akan disampaikan dan penentuan pencapaian matlamat. Persediaan mengajar merupakan rancangan tindakan yang disediakan oleh guru yang akan digunakan semasa berhadapan dengan kelas.

Mengapa guru perlu menyediakan persediaan mengajar? Sebab-sebabnya adalah seperti berikut:
1. Persediaan mengajar yang baik memberikan keyakinan kepada guru.
2. Membantu guru memikirkan dengan mendalam tentang perkara yang akan diajar sebelum mengajar. Kesukaran atau masalah yang dihadapi akan dapat dijangka dan keputusan dapat dibuat untuk mengatasinya. Perancangan spesifik juga boleh dibuat untuk mengatasi masalah yang berkaitan dengan kawalan bilik darjah dan memotivasikan pelajar.
3. Membantu guru merancang media pengajaran yang digunakan dalam pengajaran.
4. Memastikan semua maklumat yang hendak disampaikan dimasukkan dalam persediaan mengajar.
5. Memastikan pengajar sentiasa dapat mengikuti jadual yang telah ditetapkan.
6. Memastikan langkah disusun mengikut urutan.
7. Sebagai rekod untuk mengetahui perkara yang telah dan belum diajar.

Walaupun terdapat pelbagai format persediaan mengajar, terdapat persamaan dari segi komponen yang terdapat dalam satu persediaan mengajar. Komponen persediaan mengajar boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu persediaan, penyampaian dan penutup.
Kita akan bincangkan dengan terperinci komponen-komponen dalam satu persediaan
mengajar.
1. Maklumat Am
Maklumat am terdiri daripada butir-butir tentang tarikh, masa, tingkatan, bilangan pelajar, mata pelajaran dan tajuk pengajaran. Maklumat ini perlu untuk guru mengetahui siapa pelajar mereka, perkara yang akan disampaikan supaya guru dapat merancang strategi dan media pengajaran yang akan digunakan.
2. Pengetahuan Sedia Ada
Pengetahuan sedia ada ialah pengetahuan yang telah dipelajari oleh pelajar berkaitan dengan tajuk yang akan dipelajari. Pengetahuan ini mungkin diperoleh melalui pembelajaran sebelum, pengalaman terus, pemerhatian atau pembacaan pelajar. Guru perlu mengetahui pengetahuan yang sedia ada pada pelajar supaya dapat menentukan peringkat permulaan sesuatu pengajaran dan dapat menyediakan media pengajaran dan kaedah pengajaran yang sesuai dengan pelajar
3. Objektif pengajaran ialah satu pernyataan yang menentukan apa yang pelajar akan pelajari, dan bagaimana guru yang mengajar boleh mengetahui sama ada objektif sudah tercapai atau tidak. Objektif yang ditulis adalah objektif umum dan objektif khusus. Kepentingan objektif ialah:
a. untuk menentukan tujuan pengajaran
b. sebagai panduan untuk penilaian pengajaran
c. sebagai garis panduan bagaimana hendak mengajar
d. untuk menentukan skop pengajaran
4. Isi pelajaran merujuk sama ada kepada konsep, prinsip, teori atau kemahiran yang akan disampaikan kepada pelajar. Isi pelajaran diperoleh daripada sukatan pelajaran. Seperti yang telah diterangkan di atas, sukatan pelajaran dianalisis untuk menyediakan rancangan pelajaran. Rancangan pelajaran pula dibahagikan mengikut minggu dalam setahun. Oleh itu, guru perlu melihat minggu yang berkenaan dan memilih tajuk pengajaran untuk hari yang mereka akan mengajar. Kemudian, guru perlu menganalisis tajuk pengajaran bersama-sama dengan huraian sukatan, buku teks dan sumber pengajaran untuk menyusun langkah pengajaran mengikut susunan yang logik dan boleh difahami pelajar. Guru juga perlu memikirkan semua faktor, iaitu masa, pengetahuan sedia ada pelajar, aktiviti, kaedah dan media pengajaran yang
akan digunakan.
5. Nilai Murni. Bersesuaian dengan Falsafah Pendidikan Negara, KBSM digubal untuk melahirkan insan
yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Untuk mencapai hasrat ini, 16 nilai murni disenaraikan dalam KBSM untuk diterapkan melalui pengajaran dan pembelajaran. Nilai-nilai tersebut ialah baik hati, berdikari, hemah tinggi, hormat menghormati, kasih sayang, keadilan, kebebasan, keberanian, kejujuran, kebersihan, rasional, kerajinan, kerjasama, kesederhanaan, kesyukuran dan semangat bermasyarakat. Semasa menulis persediaan mengajar, guru boleh memilih nilai yang hendak ditekankan dalam pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian dengan isi pelajaran.
6. Sumber Pembelajaran. Sumber pembelajaran merujuk kepada media pengajaran dan bahan rujukan yang
digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang berkenaan. Contoh media pengajaran ialah papan gulung, carta, peta, model, slaid projektor, overhead projektor, Liquid Crystal Display (LCD), talian terus, televisyen dan radio. Sumber rujukan pula terdiri daripada buku teks, buku rujukan, risalah dan buletin. Sumber rujukan perlu untuk memastikan maklumat yang diajar sentiasa kemas kini dan seterusnya membantu meluaskan pengetahuan dan kemahiran guru dalam tajuk yang diajar

Tiada ulasan:

...:Koleksi Lagu Pilihan:...